Rukun Umrah


Setelah melakukan niat ihram dengan pakaian lengkap ihram dan tiba di hotel penginapan di Mekah, sebaiknya terus ke Masjidil Haram untuk menunaikan 5 rukun umrah bagi menjaga 13 perkara larangan ihram untuk mengelak dikenakan dam. Rukun umrah ada 5 perkara, dengan berpakaian ihram terus ke Masjidil Haram mekah untuk melakukan tawaf, sai, tahalul dan tertib bagi melengkapkan umrah seperti rukun umrah di bawah.


1. IHRAM

Memakai pakaian ihram dimana bagi lelaki terdiri dari 2 lembar kain yang tidak berjahit manakala bagi wanita pakaian ihram lebih bebas tetapi disunatkan yang berwarna putih, yang penting menutup seluruh tubuh, kecuali wajah dan telapak tangan mereka, yang penting tidak ada jahitan.
Dengan berpakaian ihram menuju ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf, sai dan tahalul dengan tertib atau berturutan.


2. TAWAF

Mengelilingi kaabah 7 pusingan. Niat tawaf adalah “Aku berniat Tawaf Umrah di Ka’abah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala”.
Syarat sah tawaf:
  • Dilakukan diluar Kaabah tetapi di dalam Masjidil Haram.
  • Tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Kaabah semasa tawaf.
  • Tidak boleh menggunakan laluan di bawah pancur emas antara Hijr Ismail dengan Ka’abah (kerana Hijr Ismail juga dikira sebahagian daripada Ka’abah).
  • Laluan tawaf hendaklah bersih dari najis.
  • Tujuh pusingan dengan sempurna dan yakin.
  • Mengirikan Kaabah atau mengelilingi melawan jam.
  • Suci dari hadas kecil (berwuduk) dan hadas besar.
  • Badan suci dari najis.
  • Menutup aurat.
  • Dimulai dari belakang hajarul Aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama.
Setelah selesai tawaf, di sunatkan sembahyang tawaf di ruang sembahyang yang disediakan untuk melakukan rukun umrah ke tiga iaitu saie.


3. SAIE

Berjalan berulang alik dari bukit Safa ke bukit Marwah sebanyak 7 kali.
Syarat sah saie ialah Dilakukan selepas tawaf, Tujuan hendaklah semata-mata untuk Saie, Dimulai dari bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah, Genap dan sempurna bilangan 7 kali, Dari kaki bukit ke kaki bukit dan Perjalanan tidak boleh terputus iaitu seseorang itu tidak boleh melencong keluar melalui satu pintu dan masuk semula dengan pintu lain.
Setelah selesai melakukan sai iaitu berjalan berulang alik sebanyak 7 pusingan, boleh terus tahalul dengan mengunting sebahagian rambut (digunting oleh orang lain yang sudah bertahalul) atau sebaiknya ke kedai cukur rambut untuk bercukur atau tahalul.


4. TAHALUL

Mencukur atau gunting sebahagian rambut di kepala setelah selesai Sai menandakan telah selesai mengerjakan umrah. Memotong rambut sekurang-kurangnya 3 helai. Afdhal untuk bercukur bagi lelaki. Bagi yang tiada rambut di kepalanya, memadai melalukan pisau di kulit kepala.
Tahallul bagi wanita atau perempuan yang berambut panjang boleh memotong mana-mana bahagian rambutnya asalkan tidak kurang dari 3 helai. Suami boleh menggunting rambut isterinya sebelum menggunting rambutnya sendiri selepas kedua-duanya selesai Sai’e umrah. Tetapi sebaik-baiknya suami menggunting rambutnya dulu.


5. TERTIB
Melakukan rukun umrah ikut turutan. Kita perlu ikut tertib umrah dari niat sampailah bercukur.


Setelah menyelesaikan umrah, barulah dapat menanggalkan baju ihram iaitu tamat pantang larang dalam ihram. Sesudah selesai umrah pertama, seterusnya boleh melakukan tawaf sunat atau umrah yang berikutnya seperti turutan di atas.